Penerangan
28 - 29 APRIL 2026, KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAS WPKL) telah menyantuni undangan daripada Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur bagi menjayakan pameran interaktif dan sesi perkongsian ilmu yang berlangsung selama dua (2) hari.
Dalam program tersebut, JAS WPKL telah mengetengahkan pameran khusus berkaitan pengurusan sisa elektrik dan elektronik (e-waste) serta membuka kaunter pendaftaran Rakan Alam Sekitar (RAS). Lebih bermakna, kemuncak program ini diserikan dengan sesi perkongsian ilmu bertajuk "Sustainability in Hotel Management" yang disampaikan sendiri oleh Pengarah JAS WPKL, Puan Hajah Zuraini binti Ahmad Tajudin. Sesi ini memfokuskan kepada mendidik warga kerja hotel mengenai kepentingan tatacara pelupusan e-waste yang selamat, di samping memperkasa peranan keahlian RAS dalam menyokong kelestarian alam sekitar.
Penglibatan proaktif JAS WPKL dalam inisiatif ini bukan sekadar untuk memupuk kesedaran alam sekitar, malah bertindak sebagai pemangkin kepada jalinan kerjasama strategik bersama pemain industri hospitaliti. Ini merupakan langkah penting dalam mewujudkan persekitaran operasi hotel dan komuniti yang lebih bersih, selamat, serta lestari.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#jaswpkl
#alamsekitartanggungjawabbersama