Penerangan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang telah melaksanakan Operasi Bersepadu (Ops Gerak Peringkat Kebangsaan ) bersempena Sambutan Hari Penguat Kuasa JAS 2026 dengan kerjasama agensi penguatkuasaan iaitu Ibupejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Operasi yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam di Persimpangan Jalan Gambang–MEC ini bertujuan meningkatkan pematuhan undang-undang serta memastikan kelestarian alam sekitar dan keselamatan jalan raya.
Seramai 2 pegawai dan 13 anggota JAS terlibat dalam operasi ini. Sebanyak 128 kenderaan diperiksa secara visual, termasuk 4 ujian asap diesel dan 2 ujian gas petrol. Hasil pemeriksaan, 2 kompaun dan 3 notis arahan telah dikeluarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan JAS Pahang bersama agensi penguatkuasaan dalam memperkukuh pematuhan undang-undang serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.