PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Gambar / Aktiviti · Program Kesedaran · Program Pengawasan

NRES PERKUKUH PEMANTAUAN KEBAKARAN TERBUKA DI MENARA TINJAU TUDAN

JAS SARAWAK 23/04/2026 1 hits

Paparan Keseluruhan

Tajuk
NRES PERKUKUH PEMANTAUAN KEBAKARAN TERBUKA DI MENARA TINJAU TUDAN
Tahun
2026
Organisasi
JAS Sarawak
Lokasi
Miri, Sarawak

Penerangan

MIRI, 10 April: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited memperkukuh pemantauan serta kesiapsiagaan agensi dalam menangani isu kebakaran terbuka, pencemaran udara dan jerebu melalui pemerkasaan infrastruktur di Menara Tinjau Tudan, di sini. Menurut kenyataan, lawatan kerja Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh ke menara tersebut bertujuan meninjau keupayaan infrastruktur sedia ada bagi memastikan sebarang kejadian kebakaran dapat dikesan lebih awal dan ditangani secara berkesan. “Menara Tinjau Tudan memainkan peranan penting sebagai platform pemantauan masa nyata (real-time) bagi mengesan titik panas kebakaran, sekali gus membolehkan tindakan pantas diambil oleh agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu hari ini. Kenyataan itu memaklumkan bahawa pemantauan berkenaan melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Natural Resources and Environment Board Sarawak (NREB) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG). Selain itu, taklimat mengenai situasi semasa di Miri turut menyentuh peningkatan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut ketika cuaca panas serta kering, khususnya akibat aktiviti manusia seperti pembakaran sampah dan pembersihan tanah secara tidak terkawal. “Langkah-langkah menangani potensi kebakaran merangkumi peningkatan kesedaran awam, perbincangan bersama industri perladangan, pelaksanaan rondaan penguatkuasaan, serta siasatan terhadap pemilik tanah persendirian oleh NREB dan JAS. “Hebahan larangan pembakaran terbuka juga dipergiat melalui kerjasama Jabatan Penerangan dan media massa bagi memastikan maklumat sampai kepada masyarakat,” tambah kenyataan itu lagi. Menurut kenyataan tersebut, kebakaran terbuka dikenal pasti sebagai penyumbang utama kemerosotan kualiti udara, justeru lawatan kerja itu mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh aspek penguatkuasaan dan kesedaran awam bagi menangani isu jerebu.