Oleh hashikin · 18/03/2026 · 2 paparan
JAS PULAU PINANG TERIMA 254 ADUAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR SEHINGGA MAC 2026, PEMBAKARAN TERBUKA TERTINGGI 16 MAC 2026, KEPALA BATAS – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pulau Pinang menerima sebanyak 254 aduan awam berkaitan pencemaran alam sekitar sehingga 15 Mac 2026. Menurut Pengarah JAS Pulau Pinang, Tuan Badlishah Bin Ahmad, terdapat penurunan jumlah aduan pencemaran berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Aduan yang diterima melibatkan beberapa segmen iaitu pencemaran udara (216 aduan), pencemaran air (19 aduan), bunyi bising (5 aduan), sisa buangan terjadual (2 aduan), serta tumpahan minyak marin (1 aduan) serta 11 aduan berkaitan kacau-ganggu dan pembuangan sampah sarap. Rekod terkini yang diterima oleh Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang menunjukkan bahawa aduan berkaitan pembakaran terbuka adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 167 aduan berkaitan di kawasan tanah terbiar, kawasan pertanian, tapak pembangunan, rizab kerajaan serta kawasan perumahan. Hasil siasatan mendapati 60 peratus daripada jumlah aduan tersebut adalah berasas, manakala selebihnya didapati tidak berkaitan dan dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut. Tindakan penguatkuasaan yang telah diambil oleh JAS Pulau Pinang sehingga bulan Mac tahun ini, ialah mengeluarkan sebanyak 73 surat amaran, 13 notis arahan dan lima (5) kompaun terhadap kesalahan berkaitan. Pembakaran terbuka merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM25,000 dan tidak melebihi RM1,000,000 atau penjara sehingga lima (5) tahun atau kedua-duanya sekali. Denda tambahan sehingga RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas notis diserahkan juga boleh dikenakan, atau kompaun tidak melebihi 50 peratus daripada jumlah denda maksimum. JAS Pulau Pinang turut menyeru orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, terutamanya dalam tempoh cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat serta menjejaskan kualiti udara. Langkah ini sejajar dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) serta Pelan Tindakan Pencegahan Kebakaran Terbuka yang digerakkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sejak 15 Februari 2026. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan aktiviti pembakaran terbuka atau pencemaran alam sekitar boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727, emel ke [email protected] atau melalui portal eAduan di https://eaduan.doe.gov.my.
Perpustakaan Enviro Digital @JAS
Aras 1 – 4, Podium 2 & 3,
Wisma Sumber Asli
No.25, Persiaran Perdana, Presint 4
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62574 Putrajaya, Malaysia.
Telefon - 03-8871 2000/2200
Emel - [email protected]
Selasa – Khamis:
9.00 Pagi – 4.30 Petang
Jumaat:
9.00 Pagi – 12.15 Tengahari
2:45 Petang - 4.30 Petang
Isnin dan cuti umum - Tutup