Penerangan
9 Mac 2026, Kuala Langat - Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor Cawangan Sepang telah menjalankan siasatan susulan aduan yang diterima daripada orang awam berkaitan bau busuk daripada aktiviti kitar semula di Kuala Langat, Selangor.
Siasatan mendapati premis menjalankan aktiviti memproses plastik terpakai. Siasatan juga mendapati mesin extruder yang digunakan bagi memproses plastik terpakai tidak dilengkapi dengan Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) dan tidak mempunyai kelulusan daripada JAS. Premis juga telah didapati gagal mengemukakan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi menjalankan aktiviti tersebut.
Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan terhadap premis bagi menghentikan pencemaran udara daripada berterusan. Tindakan Notis arahan di bawah Seksyen 31, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan kepada pemilik premis bagi tindakan pembaikan dan pematuhan.
Tindakan kompaun juga dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) kepada pihak premis atas kesalahan memproses plastik terpakai tanpa kebenaran. Premis didapati mempunyai lesen perniagaan bagi aktiviti gudang simpanan dan kilang membuat, simpan dan borong dari plastik.