Penerangan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) lbu Pejabat telah mengadakan sesi libat urus bersama pengimport dan pengeksport HCFC dan HFC berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar di Bilik Cempaka, Aras 3, Jabatan Alam Sekitar Putrajaya dipengerusikan oleh YBrs. Puan Nor Aziah binti Jaafar, Pengarah Bahagian Udara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) lbu Pejabat.
Malaysia merupakan Negara Parti kepada Protokol Montreal di bawah Konvensyen Viena bagi perlindungan lapisan ozon sejak tahun 1989. Sebagai negara parti, Malaysia tertakluk kepada obligasi untuk mengawal, mengurangkan dan menghentikan penggunaan HCFC dan HFC. Sehubungan itu, sesi libat urus yang telah dihadiri oleh 45 orang pengimport dan pengeksport HCFC dan HFC daripada seluruh negara telah diadakan dengan jayanya dan dapat mengetengahkan isu-isu dan cadangan penyelesaian kepada semua pemegang taruh.
Objektif sesi libat urus ini adalah sebagai platform perkongsian maklumat dan isu-isu semasa dengan pengimport dan pengeksport HCFC dan HFC, pemakluman mengenai garis panduan terkini sistem kuota import HCFC dan HFC dan cadangan penambahbaikan sistem kuota secara digital setelah hampir dua (2) tahun sistem ini dilaksanakan di bawah Pindaan Kigali.
Semoga kerjasama di antara JAS dengan pengimport dan pengeksport berdaftar dengan JAS akan diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan obligasi Malaysia sebagai Negara Parti kepada Protokol Montreal tercapai.