Penerangan
Bagi menyokong pelaksanaan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC (HPMP) Malaysia Fasa III, United Nations Development Programme (UNDP) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menganjurkan Lawatan Pembangunan Kapasiti ke Jakarta, Indonesia pada 20 hingga 24 Oktober 2025. Kehadiran delegasi JAS seramai 4 orang pegawai yang diketuai oleh Tuan Noor Suffianhadi Bin Ramly@Hassan, Ketua Penolong Pengarah, Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS), manakala 5 orang pegawai daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia, yang diketuai oleh Puan Siti Hasmah Binti Mustapha, Pengarah Bahagian Standard Pekerjaan dan Kurikulum TVET turut menyertai program ini.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk meningkatkan kapasiti pegawai melalui sesi perkongsian maklumat dan pengalaman mengenai program pentauliahan juruteknik servis dalam bidang penyejukan dan penyaman udara (RAC).
Antara agenda utama lawatan pembangunan kapasiti ini ialah:
- Perbincangan bersama NOU Indonesia, Kementerian Tenaga Kerja dan BNSP berhubung pelaksanaan sistem pensijilan juruteknik RAC yang berasaskan kompetensi.
- Lawatan teknikal ke BBPVP Bekasi dan PPKPI Pasar Rebo bagi meninjau modul latihan serta pelaksanaan pensijilan juruteknik termasuk kemahiran seperti brazing, pressure testing dan refrigerant recovery.
Lawatan ini diakhiri dengan sesi perbincangan bersama National Ozone Unit (NOU) Indonesia, yang memberi ruang kepada delegasi Malaysia untuk merumuskan penemuan serta hala tuju pelaksanaan program pentauliahan juruteknik servis di Malaysia.