Penerangan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah mengadakan operasi Khas Motosikal “Ops Samseng Jalanan” bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) dan Jalan Johan Setia pada 8 dan 9 November 2025.
Sebanyak 100 buah motosikal pelbagai jenis telah ditahan dan dibawa ke IPD. Daripada jumlah tersebut, 8 buah motosikal telah menjalani pengujian paras bunyi menggunakan “Sound Level Meter”.
Tiga (3) buah motosikal didapati gagal mematuhi had 95 dB(A) paras bunyi sepertimana yang ditetapkan di bawah Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
Kertas siasatan bagi mendapatkan izin mengkompuan di bawah Seksyen 45, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 (Akta 127) akan dibuka dan Notis Arahan pemeriksaan semula motosikal di bawah Seksyen 48A(1), Akta yang sama turut dikenakan ke atas pemilik/penunggang motosikal terbabit.
Orang awam adalah diingatkan untuk sentiasa menyelenggara kenderaan dengan baik bagi mengelakkan ketidakpatuhan kepada peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan dibawahnya.