Penerangan
18 November 2025 (Selasa), WP Labuan – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Labuan telah melaksanakan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Bunyi Bising Motosikal di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wilayah Persekutuan Labuan. Operasi ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (Bahagian Trafik) sebagai usaha mempertingkat pematuhan terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi bising Kenderaan Motor), 1987 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Operasi yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini melibatkan seramai 15 anggota penguatkuasa, terdiri daripada tujuh (7) pegawai JAS, lima (5) pegawai JPJ, serta tiga (3) pegawai Polis Trafik.
Sepanjang operasi, sejumlah lima (5) buah motosikal telah diperiksa. Hasil pemeriksaan mendapati dua (2) buah motosikal mematuhi piawaian bunyi yang ditetapkan, manakala tiga (3) buah motosikal didapati tidak mematuhi had bunyi yang dibenarkan. Bagi kesalahan tersebut, tiga (3) Notis Arahan telah dikeluarkan untuk tindakan pembaikan oleh pemilik motosikal terlibat.
Jabatan Alam Sekitar W.P. Labuan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi terlibat atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan operasi ini. Pelaksanaan operasi secara bersepadu ini amat penting dalam memastikan kawal selia pencemaran bunyi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan kualiti persekitaran dan kesejahteraan masyarakat di Wilayah Persekutuan Labuan.