Penerangan
27 September 2025, Klang – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah mengadakan Program Gambut Funwalk 2025 bersempena dengan sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 Peringkat Negeri Selangor. Program Gambut Funwalk telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Mohd Faizul Hilmi bin Zulkifli, Timbalan Pengarah Operasi 1, Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor diiringi oleh YBrs. Puan Ruhaidah binti Mohd Salehan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Johan Setia.
Bertepatan dengan tema sambutan Hari Ozon Sedunia 2025 iaitu From Science to Global Action, program Gambut Funwalk ini telah diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan tanah gambut, memupuk kesedaran berkaitan aspek penjagaan lapisan ozon dan meningkatkan kefahaman di kalangan murid sekolah berkaitan kelestarian alam sekitar.
Seramai 300 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai JAS Negeri Selangor, guru-guru dan murid-murid Sekolah Kebangsaan Johan Setia telah menyertai program ini.
Program telah diisi dengan aktiviti senamrobik, Gambut Funwalk, Pertandingan Mewarna bertemakan “Larangan Pembakaran Terbuka” dan Kuiz Alam Sekitar yang merangkumi topik berkaitan ozon, pencemaran udara, tanah gambut, dan langkah-langkah pemeliharaan alam sekitar.
Program turut dimeriahkan lagi dengan sesi demonstrasi dan taklimat berkaitan Stesen Mobil Kualiti Udara yang disampaikan oleh wakil Pakar Scieno TW Sdn. Bhd. Peserta telah diberi penerangan mengenai kaedah stesen tersebut beroperasi dalam memantau tahap kualiti udara.
Sekolah Kebangsaan Johan Setia telah turut diiktiraf sebagai Sekolah Angkat Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor. Pengiktirafan ini adalah merupakan penghormatan besar kepada sekolah atas komitmen yang diberikan dalam menyebarluas pendidikan alam sekitar. Semoga pengiktirafan ini dapat mengukuhkan lagi kerjasama strategik antara sekolah dan JAS dalam melahirkan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar.