Penerangan
OPS GEMPUR DAN LEMBANGAN BIL. 10/2025 JAS PULAU PINANG
PULAU PINANG, 31 OKTOBER 2025 – Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang yang mempunyai 5 Unit Penguatkuasaan dan bersama Cawangan Bayan Lepas telah menjalankan operasi bersepadu iaitu Ops Gempur dan Lembangan siri ke 10 bagi tahun 2025 pada 28 hingga 30 Oktober 2025 ke atas premis-premis di Negeri Pulau Pinang khususnya premis dalam kawasan industri dan Premis Yang Ditetapkan (PYDT). Ops ini menyasarkan punca-punca pencemar yang terletak di hulu takat pengambilan air yang berada di dalam kawasan Lembangan Sungai Juru dan Sungai Jawi. Dalam operasi ini, sebanyak tujuh pasukan dengan bilangan anggota penguatkuasa JAS seramai 20 orang telah terlibat dimana operasi ini ditumpukan kepada premis-premis yang tertakluk dibawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (PPKAS) (Efluen Perindustrian) 2009 dan PPKAS (Kumbahan) 2009. Selain itu, pematuhan kepada PPKAS (Udara Bersih) 2014 dan PPKAS (Buangan Terjadual) 2005 juga disemak.
Operasi kali ini telah berjaya membuat pemeriksaan ke atas 18 premis. Sebanyak tujuh belas (17) Arahan Lapangan, Dua (2) Notis Arahan telah dikeluarkan, satu (1) kertas siasatan syor kompaun dibuka ke atas premis yang melibatkan kesalahan di bawah peraturan khususnya melibatkan efluen perindustrian, kumbahan dan buangan terjadual.
Operasi bersepadu ini adalah tindakan penguatkuasaan yang dijalankan oleh JAS untuk meningkatkan pematuhan oleh pihak industri supaya operasi di premis adalah sentiasa mengikut kehendak perundangan dan memastikan kepentingan alam sekitar diberi perhatian serius. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pematuhan berterusan premis industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-peraturan di bawahnya.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#jaspulaupinang
#jasppokt2025
#alamsekitartanggungjawabbersama