PERPUSTAKAAN ENVIRO DIGITAL Jabatan Alam Sekitar Malaysia
Koleksi Gambar

BICARA EKSEKUTIF ESG DAN SDG, BINCANG PERKUKUHKAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR

najmi 12/11/2025 0 paparan

Paparan Keseluruhan

Tajuk
BICARA EKSEKUTIF ESG DAN SDG, BINCANG PERKUKUHKAN KELESTARIAN ALAM SEKITAR
Tahun
2025
Organisasi
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah
Lokasi
ALOR SETAR

Penerangan

Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah telah menganjurkan Program Bicara Eksekutif : Environmental, Social and Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG) Dalam Pembangunan Negara Yang Mampan, bersempena Hari Ozon Sedunia 2025 Peringkat Negeri Kedah. Penganjuran program yang signifikan ini, bukan sekadar memperingati perjuangan dunia memulihkan lapisan ozon tetapi juga memperkukuh kefahaman terhadap peranan ESG dan SDG dalam kerangka pembangunan negara dan negeri. ? ?Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali berkata setiap kali kita menyambut Hari Ozon Sedunia, kita diingatkan bahawa bumi ini hanya satu dan tanggungjawab melindunginya adalah amanah bersama. Melalui pelaksanaan Protokol Montreal sejak 1989, masyarakat dunia telah membuktikan bahawa apabila kerjasama global diperkukuh, matlamat besar mampu dicapai. Kini, lapisan ozon semakin pulih hasil komitmen dan tindakan bersepadu semua negara. ? ?“Namun, dunia kini berhadapan dengan cabaran baharu seperti perubahan iklim, pelepasan karbon yang meningkat dan penurunan kualiti udara serta air. Maka, semangat yang melahirkan kejayaan Protokol Montreal harus diteruskan dengan pendekatan baharu yang lebih holistik berasaskan pembangunan mampan dan tadbir urus beretika. ? ?“Agenda Environmental, Social and Governance (ESG) dan Sustainable Development Goals (SDG) bukan lagi istilah yang hanya wujud dalam laporan dasar atau konvensyen antarabangsa. Ia kini menjadi keperluan sebenar dalam merancang masa depan yang lebih lestari. ESG menuntut agar semua sektor kerajaan, industri dan komuniti menilai semula kesan aktiviti mereka terhadap alam sekitar, masyarakat dan nilai tadbir urus. Manakala SDG menyediakan peta jalan global yang menghubungkan keadilan sosial, kesejahteraan ekonomi dan perlindungan alam sekitar. ? ?“Kedua-dua kerangka ini saling melengkapi dan pelaksanaannya memerlukan kecekapan, integriti serta kesedaran yang tinggi di semua peringkat. Dalam konteks pentadbiran negeri, prinsip ESG–SDG ini wajar dijadikan teras dalam perancangan dasar, pembangunan wilayah dan penyampaian perkhidmatan awam. ? ?“Kerajaan Negeri Kedah sentiasa beriltizam untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negeri ini berlaku seiring dengan kelestarian alam sekitar. Sebagai negeri yang sedang pesat membangun, Kedah berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pengurusan sumber air, tekanan pembangunan tanah, peningkatan sisa pepejal dan kesan perubahan iklim terhadap pertanian serta kawasan pantai. Namun, di sebalik cabaran itu, terdapat peluang besar untuk menjadikan Kedah peneraju pembangunan hijau di utara Semenanjung," katanya. ? ?Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Program Bicara Eksekutif : ESG & SDG Dalam Pembangunan Negara Yang Mampan sempena Hari Ozon Sedunia Tahun 2025 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini. ? ?Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan perundangan, Dato’ Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab. ? ?Dalam perkembangan sama, Norizan berkata dalam tempoh 25 tahun akan datang, hala tuju pembangunan negeri ini digariskan melalui visi besar The Greater Kedah 2050. Visi ini membawa aspirasi untuk menjadikan Kedah sebagai negeri maju, berdaya saing dan berdaya tahan, dengan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar. ? ?“The Greater Kedah 2050 bukan sekadar pelan pembangunan fizikal. Ia adalah pelan yang mengangkat nilai kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap bumi sebagai asas kemajuan. Dalam konteks ini, ESG dan SDG menjadi panduan utama yang memastikan setiap projek pembangunan sama ada di sektor industri, infrastruktur, pelancongan mahupun pertanian dilaksanakan dengan mengambil kira kesejahteraan rakyat dan keseimbangan ekologi. ? ?“Kejayaan pelaksanaan ESG dan SDG bergantung kepada kekuatan kolaborasi antara kerajaan, sektor industri dan institusi akademik. Kerajaan menyediakan dasar dan hala tuju institusi pendidikan melahirkan ilmu, inovasi dan kepakaran manakala industri berperanan menukar idea kepada tindakan. Semua ini hanya akan berkesan jika disatukan dalam satu ekosistem kerjasama yang saling memperkukuh," ujarnya.

Gambar / Video Penuh

← Kembali ke Penemuan