Penerangan
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah telah menganjurkan program Bicara Eksekutif : Environmental, Sosial And Governance (ESG) & Sustainable Development Goals (SDG) Dalam Pembangunan Negara sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia Tahun 2025 di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah dengan kehadiran Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, YBrs. Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab, ketua-ketua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri, para pengamal industri dan ahli akademik dari institut pengajian tinggi awam dan swasta.
Jemputan khas bagi Bicara Eksekutif ini adalah Yang Berbahagia Dato' Seri Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan yang telah menerangkan konsep ESG & SDG dalam aspek pembangunan negara serta isu kepimpinan ke arah pembangunan lestari, adil dan saksama. Sesi ini merupakan satu platform bagi meningkatkan kesedaran dikalangan eksekutif dan pembuat keputusan mengenai peranan dan hubungkait ESG & SDG.
Dalam program yang sama juga, Yang Berhormat Dato' Seri Haji Norizan bin Khazali dan Yang Berbahagia Dato' Seri Dr Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus turut berbesar hati melancarkan bahan kempen kesedaran alam sekitar iaitu 2 Video lagu bertajuk 'Suara Semesta' dan 'Suria Malaysia' yang merupakan ilham dan karya penulisan dari Puan Pengarah JAS Kedah. Lagu-lagu ini boleh dimuatturun di aplikasi Spotify dan ITunes.
Dif-dif kehormat dan tetamu jemputan turut disajikan dengan persembahan nyanyian lagu oleh artis tempatan.
JAS Negeri Kedah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato' Seri Haji Norizan bin Khazali dan Yang Berbahagia Dato' Seri Dr Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus serta semua pihak yang hadir ke program tersebut.
JAS Negeri Kedah juga mengucapkan ribuan terimakasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam penghasilan video-video muzik tersebut dan turut menyertai persembahan dalam majlis ini. Moga ianya memberi mesej kesedaran alam sekitar yang jelas untuk kita semua.