Penerangan
JAS Negeri Kedah telah menganjurkan Majlis Apresiasi Media 2025 bagi meraikan dan memberi penghargaan kepada pengamal-pengamal media yang telah banyak memberi sokongan, bantuan dan kerjasama kepada JAS Negeri Kedah dalam menganjurkan program dan membuat liputan berkaitan isu-isu alam sekitar di negeri ini. Majlis ini telah diadakan di pejabat JAS Negeri Kedah dan dijalankan dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah.
Pihak media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat terkini kepada masyarakat tentang isu-isu alam sekitar semasa serta menyampaikan mesej-mesej penting khususnya bagi mendidik masyarakat berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Usaha mereka termasuklah memberikan pendedahan tentang tindakan-tindakan penguatkuasaan, kes-kes mahkamah, aktiviti-aktiviti kesedaran serta aktiviti pengawasan yang dijalankan oleh JAS Kedah. Maklumat media juga dapat membantu orang awam memahami bidangkuasa dan tugas-tugas JAS.
Pengarah JAS Negeri Kedah iaitu Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab juga turut menyelitkan penerangan berkaitan pencapaian dan isu-isu penguatkuasaan dan menyampaikan sijil penghargaan kepada semua media yang terlibat.
Seramai 19 pengamal media telah hadir dari pelbagai agensi antaranya Rancangan TV Malaysia (RTM), Harian Metro, BERNAMA, Utusan Malaysia, Astro Awani, New Straits Times, Sinar Harian, KOSMO dan Berita Harian.
JAS Negeri Kedah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pengamal media yang telah hadir dan telah memberikan sokongan serta kerjasama selama ini.