Penerangan
The 37th Meeting of The Parties (MOP37) To The Montreal Protocol On Substances That Deplete The Ozone Layer telah diadakan di United Nation Office at Nairobi, Kenya pada 3-5 November 2025 untuk Segmen Persdiaan (Prepatory Segment) dan 6-7 November untuk Segmen Peringkat Tertinggi (High Level Segment).
Delegasi Malaysia ke mesyuarat kali ini telah diketuai oleh YBrs. Dr. Norhazni binti Mat Sar i, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan diiringi oleh Puan Nor Aziah binti Jaafar, Pengarah Bahagian Udara, serta pegawai-pegawai daripada Bahagian Pengurusan Alam Sekitar (BPAS), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Seksyen Perlindungan Ozon, JAS.
Dalam sesi Segmen Peringkat Tertinggi, YBrs. Dr. Norhazni telah menyampaikan kenyataan negara yang menegaskan komitmen Malaysia terhadap pelaksanaan Protokol Montreal sebagai tonggak utama agenda alam sekitar negara. Malaysia kini sedang melaksanakan Pelan Pengurusan Penghapusan HCFC (HPMP) Peringkat III bagi mencapai penghapusan penggunaan HCFC sepenuhnya menjelang tahun 2030 dan Pelan Pelaksanaan Kigali (KIP) Peringkat I (2024–2029) bagi pengurangan penggunaan HFC yang memperkukuh komitmen negara ke arah tindakan iklim yang lebih menyeluruh. Malaysia juga turut menekankan kepentingan Pengurusan Kitar Hayat Bahan Penyejuk (Life Cycle Refrigerant Management, LRM) dan penerapan teknologi rendah pemanasan global bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, sejajar dengan aspirasi negara menuju pembangunan hijau, rendah karbon dan lestari alam.
Dalam mesyuarat MOP37, Malaysia selaku Naib Presiden MOP36 turut menghadiri mesyuarat Biro MOP36 yang diwakili oleh Pengarah Bahagian Udara, bersama pegawai daripada JAS dan BPAS pada 1 November 2025 (Sabtu). Selain itu, Malaysia juga telah dilantik sebagai Pengerusi Bersama (Co-Chair) bersama Jerman dalam mesyuarat Jawatankuasa Penetapan Belanjawan bagi pelaksanaan Protokol Montreal bagi tahun 2026 dan 2027, yang telah dipengerusikan oleh KPPK Encik Ryan Ooi Chean Weai, selaku Ketua Unit Ozon Kebangsaan (National Ozone Unit), Protokol Montreal, mewakili Malaysia.
Delegasi Malaysia turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Ruzaimi Mohamad, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, yang turut hadir semasa sesi penyampaian kenyataan negara bagi menyokong ketua delegasi dan keseluruhan delegasi Malaysia.
Penyertaan Malaysia dalam MOP37 mencerminkan komitmen berterusan negara terhadap pemeliharaan lapisan ozon dan usaha mitigasi perubahan iklim selaras dengan tanggungjawab di bawah Protokol Montreal serta aspirasi Malaysia menuju masa depan yang mampan dan sejahtera