Penerangan
KLUANG, 9 Oktober 2025 : Sebuah kilang sawit mentah telah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana didapati menjadi punca pencemaran Sungai Bahai susulan aduan awam yang di terima. Siasatan pegawai penguatkuasa mendapati pihak kilang gagal mematuhi syarat lesen kerana terdapat kebocoran dan limpahan efluen dari kolam pengolahan efluen dan memasuki alur air berdekatan seterusnya ke Sungai Bahai. Pihak kilang telah di arahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dengan segera dalam tempoh POK tersebut bagi mengelakkan kejadian pencemaran sungai daripada berulang.
Premis turut dikenakan tindakan Gantung Lesen operasi premis mengikut peruntukan Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977. Kes disiasat di bawah Seksyen 16, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Jika disabitkan kesalahan, premis boleh didenda tidak kurang daripada dua puluh lima ribu ringgit dan tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.