Penerangan
12 September 2025, Kuala Lumpur – Slot bual bicara “Peranan Undang-Undang dan Penguatkuasaan dalam Mengawal Pencemaran Alam Sekitar” dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM menampilkan Encik Abdul Aziz bin Parmin, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) sebagai tetamu jemputan. Beliau menjelaskan bahawa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 menjadi asas kawalan pencemaran melalui garis panduan dan kuasa penguatkuasaan bagi mengambil tindakan terhadap pihak yang melanggar peraturan. Turut disentuh ialah kepentingan pengurusan sisa e-waste secara berlesen, penggunaan teknologi pemantauan digital dan sistem amaran awal bagi mempercepat tindakan penguatkuasaan, serta pelaksanaan kompaun, denda dan pendakwaan di mahkamah bagi memberi pengajaran kepada pihak yang ingkar. Beliau menegaskan pencegahan pencemaran alam sekitar perlu dipandang serius, dengan pendidikan dan kesedaran awam sebagai kunci memastikan masyarakat serta industri cakna dan patuh kepada undang-undang sebelum pencemaran berlaku.