Penerangan
23 Ogos 2025, Shah Alam - Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor telah mendapat notifikasi amaran daripada Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) mengenai status indeks pencemaran udara tidak sihat (IPU: 156) di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Petaling Jaya.
Tinjauan dan pemeriksaan dijalankan oleh Pasukan Penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor mendapati bahawa terdapat kesan pembakaran terbuka di kawasan rizab jalan berhampiran dengan lokasi stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar di Petaling Jaya, Selangor. Kesan pembakaran terbuka tersebut adalah berpunca aktiviti pembakaran sisa pepejal daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Terdapat longgokan sisa kelengkapan rumah juga dikesan di lokasi kejadian. Tiada individu dikenalpasti berada di lokasi semasa siasatan dijalankan.
Tindakan pemasangan banner larangan pembakaran terbuka dan pita kordon telah dilaksanakan di lokasi kejadian. Perkara ini akan dipanjangkan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) agar tindakan selanjutnya dapat diambil bagi menangani isu pelupusan sampah haram dan pembakaran terbuka daripada berulang di lokasi tersebut.