Penerangan
26 Ogos 2025, Pasir Gudang : Satu operasi bersepadu antara Jabatan Alam Sekitar Cawangan Pasir Gudang bersama Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru telah dilaksanakan ke atas sebuah premis kitar semula tayar terpakai yang menyebabkan pencemaran bau susulan aduan awam.
Operasi bersepadu ini adalah bagi memastikan tindakan secara bersama antara agensi berkaitan dapat diambil di bawah bidang kuasa masing-masing.
Hasil penguatkuasaan JAS mendapati sistem kawalan pencemaran udara premis gagal berfungsi dengan baik dan premis gagal mematuhi PPKAS (Udara Bersih) 2014.
Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan. Premis diarahkan untuk mengambil langkah pembaikan terhadap sistem kawalan pencemaran udara dalam tempoh POK tersebut.
Semua premis industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya dan tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar.