Penerangan
23 Januari 2025, Institut Alam Sekitar Malaysia, Bangi– Jabatan Alam Sekitar (JAS) Malaysia dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah menganjurkan Latihan Pemantauan Pencemaran dan Pemeliharaan Alam Sekitar JAS-APM Bil. 1/2025 yang bermula pada 21 Januari 2025 lalu. Program ini bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada pegawai APM untuk mahir melaksanakan rondaan pemantauan pencemaran alam sekitar melalui Op Ramah yang dijalankan oleh APM masa kini.
Dalam siri latihan kali ini, seramai 50 pegawai APM telah dilatih untuk memahami fungsi dan peranan JAS, termasuk perundangan berkaitan,tatacara menjalankan rondaan bagi pencegahan pembakaran terbuka, pengesanan pelupusan haram buangan terjadual, serta pemantauan kawasan industri. Selain itu, para peserta turut diberi taklimat mengenai pengawasan kualiti alam sekitar yang dijalankan oleh Jabatan dan dibawa melawat ke stesen pengawasan kualiti udara, Putrajaya serta pusat pengajaran dan pembelajaran air dan udara yang terdapat di EiMAS.
Sesi penutupan dan penyerahan sijil penyertaan Latihan kepada peserta telah disempurnakan oleh YBrs. Lt (Kol) (Bersekutu) Tn. Abdul Aziz bin Parmin, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasa, yang mewakili JAS Malaysia. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Kolonel (PA) Fazlisyah bin Muslim, Pengarah Bahagian Pengurusan Latihan APM, serta pegawai-pegawai kanan daripada JAS dan APM.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan antara JAS dan APM dalam usaha memastikan kelestarian dan kualiti alam sekitar negara terus terpelihara.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#alamsekitartanggungjawabbersama