Penerangan
21 Mei 2025 - Pekan Sik, Kedah.
Program Inisiatif Local Agenda bertemakan "Memupuk Komuniti Sik yang Mampan, Sejahtera dan Lestari" telah berlangsung dengan jayanya di Medan Selera Semarak Majlis Daerah Sik, Pekan Sik. Program anjuran Majlis Daerah Sik ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta penglibatan komuniti dalam pembangunan mampan di peringkat tempatan. Acara bermula dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat dan penyertaan daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta.
Program turut diserikan dengan aktiviti menarik seperti senamrobik, taklimat penanaman pokok, pertandingan inovasi, serta "Trash to Cash" yang memupuk budaya kitar semula. Pertandingan fesyen “Let’s Recycle” pula berjaya menarik perhatian dengan kreativiti berasaskan bahan terpakai. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menyemarakkan semangat komuniti, tetapi juga menjadi platform penting dalam mendidik masyarakat bahawa menjaga alam sekitar adalah tanggungjawab bersama.
JAS Negeri Kedah turut menyertai pameran alam sekitar dengan memfokus kepada isu-isu pencemaran, kepentingan pengurusan sisa, dan amalan kehidupan lestari. Sambutan pengunjung amat menggalakkan, membuktikan wujudnya kesedaran dan minat terhadap isu alam sekitar di peringkat akar umbi.
Program ini selari dengan slogan “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama” kerana ia menggalakkan penglibatan aktif pelbagai pihak dalam menjaga kelestarian alam. Melalui pameran, aktiviti kitar semula dan taklimat kesedaran, masyarakat dididik bahawa tanggungjawab memelihara alam sekitar bukan hanya terletak pada agensi, tetapi juga komuniti secara menyeluruh.