24 Mei 2025, Sungai Tengas, Terap, Kulim – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah telah menerima aduan mengenai aktiviti pengkuarian di Mukim Terap, Kedah Darul Aman tanpa kelulusan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA).
Pegawai-pegawai di unit penguatkuasaan EIA JAS Kedah telah diarah untuk menjalankan siasatan di lokasi yang diadu. Pegawai JAS Cawangan Kulim juga turut membantu dalam menjalankan siasatan. Pihak berkaitan juga turut hadir bagi memberi kerjasama menyalurkan maklumat semasa siasatan dijalankan.
Hasil siasatan mendapati tiada apa-apa aktiviti yang dikesan termasuk pergerakan jentera berat atau mesin ke lokasi yang diadukan. Siasatan lanjut juga mendapati akses utama ke lokasi aduan turut mengalami kerosakan. Menurut sumber yang diperolehi, kali terakhir dilihat terdapatnya aktiviti di lokasi terbabit adalah pada November 2024. JAS Kedah akan terus menjalankan pemantauan berkala di kawasan tersebut.
Sebarang aduan orang awam berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar boleh disalurkan di talian bebas tol 1800-88-2727, emel ke
[email protected] atau ke portal aduan.