Penerangan
18 Julai 2025, Tangkak - Susulan aduan awam berkenaan pencemaran udara di kawasan perumahan penduduk, siasatan telah dijalankan dan didapati aduan adalah berasas. Tiga buah premis kilang berasaskan kayu yang terletak di Mukim Tangkak telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Jabatan Alam Sekitar Cawangan Muar kerana didapati tidak patuh terhadap Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 serta menjadi punca pencemaran udara di Kampung Paya Mas Tangkak.
Premis juga telah diberikan arahan melaksanakan penambahbaikan dalam tempoh POK tersebut bagi mengelakkan kejadian pencemaran udara daripada berulang.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014. Jika disabitkan kesalahan, premis boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun atau kedua-duanya.