Penerangan
17 Julai 2025- Sungai Petani, Kedah
SMK Pengkalan Lebai Man telah menjadi tuan rumah kepada Program Kesedaran Pengurusan Air melalui sumbangan PETRONAS dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kedah. Program penuh berimpak ini telah dirasmikan oleh Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab, Pengarah JAS Kedah dengan kehadiran bersama Encik Khairil bin Mohammed, Pengurus Kanan PETRONAS Chemicals Fertilizer Kedah Sdn. Bhd., Puan Noor Suhailah binti Othman, Custodian Bahagian Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar Kumpulan Petronas, Puan Zainab binti Ali, Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Pengkalan Lebai Man, Tuan Haji Zakaria bin Md Saad, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah.
Turut memeriahkan program tersebut juga ialah pegawai-pegawai JAS, pihak PETRONAS, wakil Pejabat Pendidikan Kuala Muda, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta guru-guru dan pelajar-pelajar SMK Pengkalan Lebai Man.
Antara pengisian menarik ialah reruai pameran interaktif oleh pihak Petrosains, LSANK dan JAS yang berjaya menarik minat pelajar ke arah pengurusan air yang lestari. Disamping itu juga turut diadakan ceramah oleh pihak Petrosains yang menekankan teknologi berkaitan air manakala ceramah JAS menjurus kepada kepentingan penjagaan sumber air serta peranan semua lapisan masyarakat dalam memastikan kelestarian alam sekitar.
Istimewanya program kali ini ialah Majlis Pecah Tanah bagi pemasangan sistem penuaian air hujan di perkarangan sekolah. Majlis ini telah disempurnakan melalui sesi menandatangani simbolik oleh Pengarah JAS Kedah, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Chemicals Fertilizer Kedah Sdn. Bhd., dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Pengkalan Lebai Man.
Inisiatif ini menjadi simbol usaha berterusan ke arah amalan lestari yang lebih mampan di peringkat sekolah dengan membawa mesej kesedaran dan ilmu berkaitan pengurusan sumber air dan alam sekitar. Sumbangan PETRONAS ini telah diserahkan terus kepada pihak sekolah sebagai satu program CSR.
Program ini jelas menyokong aspirasi JAS menerusi slogan “Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama”. Pendedahan awal sebegini amat penting dalam membentuk generasi yang lebih cakna dan bertindak bijak dalam isu-isu alam sekitar, khususnya berkaitan sumber air yang semakin terancam.