- Tajuk
- KEM KESEDARAN ALAM SEKITAR (KEKAS) SEMPENA HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2025 PERINGKAT NEGERI KEDAH
- Tahun
- 2025
- Organisasi
- JAS Kedah
- Lokasi
- Lubok Jong Sedim, Kulim
- Diskripsi
- 4-5 Julai 2025 - Sedim, Kulim
Kem Kesedaran Alam Sekitar (KEKAS) Peringkat Negeri Kedah telah diadakan pada 4 hingga 5 Julai 2024 di Bitara Campsite Lubok Jong Sedim, Kulim. Penganjuran Program KEKAS adalah dengan kerjasama antara Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara dan Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd ini adalah bersempena Sambutan Hari Alam Sedunia 2025.
Majlis perasmian telah dirasmikan oleh Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab, Pengarah JAS Kedah. Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Puan Nor Liza binti Md Noor, Pengerusi Pertubuhan Nur Salam Wilayah Utara, Encik Zubir bin Othman, Pengurus EHS Infineon Technologies (Kulim) Sdn Bhd dan Puan Suzzana binti Md Saad, Guru Besar SK Air Merah , Kulim.
Seramai 56 orang murid dan guru pengiring yang terlibat dalam aktiviti perkhemahan ini adalah dari SK Air Merah, Kulim, SK Ayer Puteh, Pendang, SK Tiak, Baling dan SK Tanjung Pari, Baling.
Objektif KEKAS adalah bertujuan membudayakan nilai-nilai sayangkan alam sekitar di kalangan warga sekolah disamping mengeratkan kerjasama antara JAS dan pihak sekolah dalam aspek pendidikan alam sekitar. Kem tersebut juga merupakan satu bentuk tanggungjawab sosial korporat JAS kepada institusi pendidikan dan merupakan satu platform untuk mendidik dan memupuk para pelajar supaya peka dengan persekitaran khususnya isu-isu penjagaan sungai dan biodiversiti selaras dengan slogan 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama'.
Program yang berlangsung selama dua hari ini turut melibatkan aktiviti perkhemahan di kawasan tersebut. Antara pengisian program adalah taklimat pengurusan sisa buangan, ceramah alam sekitar dan aktiviti dalam kumpulan disamping aktiviti 'outdoor' berkaitan gaya hidup lestari. Turut diadakan adalah aktiviti pembuatan 'EM Mudballs' oleh para pelajar dan guru-guru terlibat yang disampaikan oleh tenaga pengajar luar yang berpengalaman.
Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Kem Kesedaran Alam Sekitar (KEKAS) Tahun 2025. Semoga aktiviti sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha mempromosikan kempen kesedaran alam sekitar.