Penerangan
3 JULAI 2025, PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) telah menganjurkan Sesi Dialog Bersama Industri di Kawasan Pasir Gudang bagi Meningkatkan Kualiti Air Sungai Tukang Baru dan Sungai Buluh, Pasir Gudang di Ballroom Cempaka Jingga, MBPG.
Sesi dialog ini telah diadakan untuk memberi peluang interaksi dua (2) hala diantara pihak industri dan agensi kerajaan bagi membincangkan tentang inisiatif pemuliharaan kualiti air sungai dan berkongsi maklumat serta cabaran dalam usaha untuk meningkatkan kualiti air sungai-sungai tersebut.
3 pembentangan telah disampaikan oleh JAS Cawangan Pasir Gudang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Suruhanjaya Perkhidmaran Air Negara (SPAN) berkaitan dengan status pematuhan industri, hidrologi Sungai Tukang Batu dan Sungai Buluh dan pengurusan sistem rawatan kumbahan.
Sesi dialog ini telah dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor. Turut bersama dalam sesi ini ialah Pengarah JAS Negeri Johor, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPG, Jurutera Daerah Johor Bahru JPS, wakil SPAN dan wakil Indah Water Konsortium Sdn Bhd (Unit Skudai).
Diharapkan sesi dialog yang diadakan bersama pihak industri ini dapat memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri dalam memastikan pematuhan terhadap undang-undang alam sekitar serta pelaksanaan langkah-langkah mitigasi pencemaran air secara lebih berkesan seterusnya meningkatkan kualiti air di Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu.
Komitmen berterusan daripada semua pihak amat penting bagi menjamin kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan komuniti setempat dan generasi akan datang.