Penerangan
Rondaan darat oleh pasukan Operasi Menangani Pembakaran Terbuka (OMPT) telah dijalankan di Daerah Sepang melibatkan pelbagai lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko serta kawasan tumpuan aduan awam. Antara lokasi yang terlibat termasuk Salak Tinggi, Kota Warisan, Jalan Perusahaan Salak Tinggi, Bandar Serenia, Kawasan Perindustrian Cipta Selatan, Jalan Cipta 1, 2 dan 3, Cybersouth, Selangor Cyber Valley, Bukit Damar, Kawasan Perindustrian Cyber Valley, Bandar Nusaputra, Alam Perdana Industrial Park, Putra Perdana, Cyberjaya, Persiaran APEC, Dengkil Bypass, Dengkil, Pipe Line Dengkil Bypass serta Jalan Sungai Melut.
Rondaan yang dijalankan secara berkala ini memberi tumpuan khusus pada kawasan yang sering menerima aduan awam, terutamanya sekitar Cybersouth dan Dengkil Bypass. Berdasarkan pemerhatian di lapangan, didapati tiada sebarang aktiviti mencurigakan atau pembakaran terbuka berlaku semasa rondaan dijalankan.
Lokasi seperti Cybersouth dan Dengkil Bypass telah dikenal pasti sebagai kawasan yang sering dijadikan tapak buangan sampah haram, dan oleh itu pemantauan dilakukan secara konsisten bagi mengelakkan berlakunya pembakaran terbuka yang boleh mencemarkan alam sekitar. Selain itu, beberapa kawasan perindustrian turut dilibatkan dalam rondaan bagi memastikan tiada aktiviti pencemaran berlaku. Hasil pemeriksaan menunjukkan bahawa semua kawasan perindustrian yang dilawati berada dalam keadaan baik dan tiada pencemaran dikesan.
Cuaca semasa rondaan adalah cerah pada waktu pagi dan bertukar mendung sekitar jam 2 petang di beberapa kawasan sekitar Dengkil. Sepanjang rondaan dijalankan, tiada sebarang aktiviti mencurigakan direkodkan dan keadaan keseluruhan adalah terkawal.