Penerangan
Pada 5 Jun 2025, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah menerima satu aduan rasmi bertarikh 26 Mei 2025 daripada YB ADUN Sungai Pelek, Encik Lwi Kian Keong, melalui sepucuk surat rasmi atas nama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Pelek (N56). Aduan tersebut merujuk kepada isu pencemaran air Sungai Sepang yang didakwa berpunca daripada pelepasan sisa air kandang ternakan dari kawasan Bukit Pelandok, Negeri Sembilan. Menurut pengadu, kejadian ini telah berulang kali berlaku dan menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap kesihatan serta ekosistem setempat.
Aduan berkenaan telah dimajukan kepada Ketua Bahagian Operasi 1 dan diterima oleh JAS Cawangan Sepang melalui aplikasi WhatsApp pada 10 Jun 2025. Siasatan lapangan telah dijalankan pada 11 Jun 2025. Pegawai JAS tiba di hadapan premis Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Pelek pada jam lebih kurang 11.02 pagi, namun gagal menghubungi wakil pusat melalui telefon. Tidak lama kemudian, wakil YB ADUN telah membantu menghubungi pengadu, Puan Chong Ai Vee, yang kemudiannya hadir membawa pihak jabatan ke premis beliau yang terletak di Grovey Floating House, sebuah eco-homestay atas air di Kampung Tanjung Mas, Sepang.
Pemerhatian di premis yang terletak di pinggiran Sungai Sepang mendapati keadaan air kelihatan normal tanpa sebarang kesan pencemaran yang ketara atau kematian hidupan akuatik. Walau bagaimanapun, pengadu menunjukkan lokasi yang disyaki sebagai punca pencemaran, iaitu dari arah pintu air Kampung Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, yang terletak lebih kurang 700 meter dari lokasi premis beliau.
Ujian in-situ menggunakan peralatan YSI ProDSS telah dijalankan bagi mendapatkan bacaan parameter kualiti air. Antara bacaan yang diperoleh termasuk suhu 29.9°C, DO 3.36mg/L, pH 7.81, saliniti 2.625%, dan TSS 0.00mg/L. Merujuk kepada Standard Kualiti Air Kebangsaan dan WQI, hanya tiga parameter yang dapat dibandingkan secara terus iaitu DO, pH dan TSS. Bacaan DO didapati berada di bawah julat piawai 5–7mg/L bagi Kelas II. Selain itu, nilai saliniti, TDS dan kekonduksian melebihi julat biasa bagi kelas tersebut.
Rujukan kepada Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2023 menunjukkan bahawa Sungai Sepang secara keseluruhan dikategorikan dalam Kelas II (Bersih) dengan bacaan WQI antara 82 hingga 90. Keputusan ujian semasa menunjukkan kemungkinan gangguan tempatan, namun bacaan keseluruhan sungai masih berada dalam kategori yang boleh diterima.
Siasatan diteruskan ke lokasi yang disyaki sebagai punca pencemaran iaitu di Pintu Kawalan Pasang Surut (TCG), Gate J, Bukit Pelandok, Negeri Sembilan. Pemerhatian di lokasi mendapati air berwarna hitam dan berbau najis haiwan, berdekatan jeti nelayan. Fenomena ini dipercayai berpunca daripada aliran sisa dari kawasan ternakan berhampiran. Keadaan ini juga berpotensi memberi kesan kepada kawasan sekitar termasuk lokasi pengadu apabila air pasang surut berlaku.
Namun begitu, siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana tiada laluan akses ke parit utama dan kawasan tersebut berada di bawah bidang kuasa JAS Negeri Sembilan.