Penerangan
Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan Ops Gempur Bersepadu Zon Selatan selama 2 hari bermula 18 hingga 19 Jun 2025. Operasi ini melibatkan penguatkuasa dari JAS Negeri Melaka dan JAS Negeri Johor.
Sesi flag-off
telah disempurnakan oleh Puan Hazereen Binti Mohammad, Ketua Penolong Pengarah Operasi II, JAS Negeri Melaka bersama pegawai-pegawai kanan JAS.
Seramai 29 anggota penguat kuasa yang telah menjalankan siasatan ke atas 14 buah premis di kawasan-kawasan perindustrian di negeri Melaka.
Hasil daripada siasatan di premis-premis terbabit, JAS telah mengenal pasti beberapa buah premis yang gagal mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Tindakan penguatkuasaan semasa operasi ini termasuk mengeluarkan 14 arahan di lapangan untuk tindakan serta merta,
mengeluarkan 8 Notis Arahan bagi mencapai pematuhan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan mengeluarkan 18 kompaun diatas pelbagai kesalahan.
Jabatan Alam Sekitar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada JAS Negeri Johor di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan pelaksanaan Ops Gempur Bersepadu Zon Selatan ini.
Jabatan Alam Sekitar akan terus komited dalam mempergiatkan usaha penguatkuasaan bagi menjamin pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan memastikan kelestarian alam sekitar sentiasa terpelihara.
“ALAM SEKITAR TANGGUNGJAWAB BERSAMA”