Penerangan
OPS GEMPUR BERSEPADU ZON UTARA 2 (SIRI 1) DI PERAK
IPOH, 13 Jun 2025 – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perak telah melaksanakan Ops Gempur Bersepadu Zon Utara 2 (Siri 1) pada 11 dan 12 Jun 2025, melibatkan enam (6) pasukan penguat kuasa dengan kekuatan seramai 19 orang pegawai penguat kuasa daripada JAS Negeri Perak dan JAS Negeri Pulau Pinang.
Majlis peluncuran operasi ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ts. Dr. Hj Mohammad Ezanni bin Mat Salleh, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak, yang menegaskan komitmen berterusan JAS dalam memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap industri yang berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar serta memastikan pematuhan menyeluruh terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Operasi ini memberi tumpuan kepada premis industri di beberapa kawasan perindustrian utama iaitu di Kawasan Perindustrian Keramat Pulai (premis batu kapur), Kawasan Perindustrian Simpang Pulai (premis asas mineral) dan di Kawasan Perindustrian Tungzen (premis pyrolysis tayar dan pemulihan buangan terjadual).
Ops Gempur Bersepadu Zon Utara 2 ini merupakan antara pendekatan strategik penguatkuasaan bersepadu oleh JAS dalam menangani isu pencemaran industri serta memperkukuhkan tahap pematuhan di kalangan pengusaha premis berisiko. Kejayaan operasi ini turut mencerminkan kerjasama erat antara negeri dalam melindungi alam sekitar secara menyeluruh.
Siri seterusnya, Ops Gempur Bersepadu Zon Utara 2 (Siri 2) akan diteruskan di Pulau Pinang pada suku ketiga (Q3) tahun 2025 sebagai sebahagian daripada agenda berterusan penguatkuasaan berimpak tinggi di zon utara Semenanjung Malaysia.