Penerangan
Program lawatan penguatkuasaan EIA telah dijalankan oleh pasukan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak pada 20 Mei 2025 menyasarkan kepada premis-premis yang mempunyai kelulusan laporan Environmental Impact Assessment (EIA) di sekitar kawasan Kuching dan Samarahan. Penguatkuasaan ini bertujuan untuk memastikan penggerak projek mematuhi syarat-syarat kelulusan EIA bagi mengelakkkan pencemaran berlaku.
Antara perkara utama yang dititikberatkan semasa lawatan penguatkuasaan dijalankan ialah pemantauan terhadap langkah-langkah kawalan pencemaran alam sekitar (Best Management Practices – BMPs) yang disediakan di tapak projek, pelaporan Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (EQMR) dan audit pihak ketiga serta semakan ke atas pematuhan syarat-syarat EIA secara keseluruhan.
Di samping itu, pemantauan ke atas pengurusan buangan terjadual dan pembakaran terbuka turut dijalankan bagi memastikan tiada pencemaran buangan terjadual dan aktiviti pembakaran terbuka berlaku terutamanya dalam kawasan tapak projek.
Penggerak projek juga diingatkan untuk sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya pada sepanjang masa serta sebarang ketidakpatuhan akan diambil tindakan tegas dan sewajarnya. Kehadiran penguatkuasa Jabatan ini di lapangan menunjukkan komitmen yang tinggi bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara seiring dengan pembagunan negara yang lestari.