Penerangan
PENGANJURAN PROGRAM HARI LESTARI SUNGAI DAN ALAM SEKITAR DI KG SEBERANG CHEGAR, ANAK BUKIT.
8 Mei 2025 - Anak Bukit, Kedah
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah telah bersama-sama memeriahkan dan menjayakan Program Lestari Sungai dan Alam Sekitar di Kg Seberang Chegar, Anak Bukit, Kedah.
Program tersebut telah dianjurkan oleh Pejabat Khidmat Wakil Rakyat Anak Bukit dengan kerjasama Pejabat Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri Kedah. Perasmian program telah disempurnakan oleh YB Dr Ahmad Fakhruddin bin Syeikh Fakhrurazi, Ahli Parlimen Kuala Kedah. Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab turut hadir memeriahkan program tersebut.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang peri pentingnya sungai dan alam sekitar kepada kita. Sungai dan alam sekitar merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Kebersihan dan kelestariannya adalah amat penting bagi menjamin kesejahtera hidup pada hari ini dan untuk generasi akan datang.
Antara aktiviti yang telah berlangsung adalah aktiviti gotong royong di persisiran sungai, penanaman pokok dan penyertaan sumbangan beras sejahtera. Kehadiran wakil-wakil agensi persekutuan dan negeri serta penduduk setempat cukup meriah untuk menjayakan program tersebut.
Dengan adanya program seperti ini dapat memberi kesedaran berkaitan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar kepada masyarakat khususnya di negeri Kedah selaras dengan tema JAS 'Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama' dan hasrat kerajaan negeri iaitu "Kedah Sejahtera Lestari Bersama".
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah merakamkan jutaan terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Negeri, Yang Berhormat Tuan Haji Mohammad Yusoff @ Munir bin Haji Zakaria atas sokongan untuk menjayakan program ini demi menjaga kesejahteraan alam sekitar.
#NRES
#jabatanalamsekitar
#jaskedah
#alamsekitartanggungjawabbersama