Penerangan
BENTONG, 20 Mac 2025 - Dua (2) premis pemprosesan plastik di sini dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) kerana beroperasi tanpa memasang sistem kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Peraturan 7(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Air sisa yang dihasilkan juga tidak dirawat sebagaimana spesifikasi yang ditetapkan di bawah Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009. Salah satu premis merupakan premis pemprosesan plastik yang baru beroperasi dan gagal mengemukakan Laporan Penilaian Alam Sekeliling (EIA) kepada JAS sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.
Jika sabit kesalahan, premis boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tempoh lima (5) tahun dan denda tidak kurang daripada RM 100,000.00 dan tidak melebihi RM 1 Juta bagi kesalahan di bawah Sekyen 34A(??, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Premis juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan di bawah Peraturan 29, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.