Penerangan
Pada 3 Mei 2025, rondaan dan pemantauan pencemaran telah dijalankan di kawasan Shah Alam Selatan yang meliputi Kawasan Perindustrian Seksyen 15, Seksyen 16 dan sekitar Padang Jawa, Seksyen 22, serta Seksyen 23. Fokus utama rondaan adalah pemantauan terhadap potensi pencemaran di kawasan perindustrian dan komersial.
Hasil rondaan mendapati kebanyakan premis industri beroperasi separuh hari memandangkan ia adalah hari Sabtu. Pemeriksaan ke atas longkang-longkang berhampiran premis yang mempunyai Sistem Rawatan Efluen Industri (IETS) tidak menemui sebarang pelepasan efluen tidak terolah atau pencemaran air ke longkang awam. Selain itu, tiada gangguan bau dikesan, termasuk di kawasan yang sebelum ini pernah menerima aduan.
Rondaan turut mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka di sepanjang laluan pemeriksaan. Pemerhatian visual terhadap cerobong premis juga menunjukkan tiada pelepasan asap hitam berlaku.
Secara keseluruhannya, keadaan di semua lokasi rondaan adalah baik dan tiada pencemaran dikesan sepanjang pemantauan dijalankan.