Penerangan
Sambutan Hari Bumi yang diraikan pada 22 April 2025 membawa tema Our Power, Our Planet, menekankan bahawa setiap individu mempunyai kuasa dan peranan dalam mencipta perubahan positif terhadap alam sekitar. Setiap tindakan, sama ada kecil mahupun besar, mampu memberikan impak yang bermakna sekiranya dilakukan dengan kesedaran dan rasa tanggungjawab.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, turut hadir mengiringi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), YB Dato’ Sri Huang Tiong Sii, dalam majlis Sambutan Hari Bumi Peringkat Negeri Sabah yang telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri. Majlis tersebut telah diadakan di Pusat Kokurikulum Sabah, Kem Melanggang, Kiulu, Tuaran, dan merupakan antara inisiatif berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran, dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tuaran, Jabatan Alam Sekitar (JAS), serta pelbagai agensi kerajaan dan swasta, telah menganjurkan sambutan Hari Bumi 2025 peringkat daerah Tuaran.
Inisiatif ini melibatkan penyertaan sebanyak 85 buah sekolah di seluruh daerah Tuaran, yang telah melaksanakan program penanaman serentak sebanyak 8,800 anak pokok Liposu (Baccaurea lanceolata). Usaha ini bukan sahaja bertujuan menyemai kesedaran terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda, malah turut mencatat sejarah apabila berjaya meraih dua rekod dalam Malaysia Book of Records, masing-masing di bawah Jabatan Alam Sekitar Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran. Program ini juga merupakan sebahagian daripada sokongan terhadap Kempen Penanaman 100 Juta Pokok 2021–2025, selaras dengan agenda negara untuk memperkukuh kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan masa depan.