Penerangan
Agensi Terlibat: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor bersama Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya (PDRM)
Peruntukan Undang-Undang:
Seksyen 45 & Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS)
Peraturan 11, PPKAS (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996
Operasi statik bersepadu ini dilaksanakan selama satu jam di Jalan Ampang dan melibatkan pemeriksaan terhadap kenderaan berenjin diesel. Dianggarkan sebanyak 113 buah kenderaan melalui titik pemeriksaan dalam tempoh operasi, dan daripada jumlah tersebut, 46 buah kenderaan telah ditahan untuk menjalani pemeriksaan visual dan ujian ketumpatan asap menggunakan peralatan “Smoke Meter”.
Hasil pemeriksaan mendapati satu (1) buah kenderaan gagal mematuhi had ketumpatan asap 50% sebagaimana ditetapkan di bawah Peraturan 11(1), PPKAS (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996. Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan telah diambil melalui pengeluaran Notis Arahan Pemeriksaan Semula Asap di PUSPAKOM ke atas pemilik kenderaan terbabit, selaras dengan Seksyen 48A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.