Penerangan
KLUANG, 15 Mac 2025 : Sebuah Kilang Minyak Kelapa Sawit Mentah yang terletak di Jalan Mersing-Kota Tinggi telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana hasil pemeriksaan mendapati terdapat ketidakpatuhan syarat lesen dan telah menyebabkan pelepasan effluen ke anak sungai berhampiran. Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) diambil bagi menghentikan pencemaran serta merta dan pihak premis di arahkan untuk mengambil langkah-langkah pembaikan dalam tempoh tersebut.
Pihak industri terutamanya pemilik kilang sawit adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan syarat-syarat lesen yang ditetapkan oleh pihak JAS. Tindakan tegas termasuk menggantung atau membatalkan lesen akan diambil oleh JAS jika berlaku sebarang pelanggaran akta yang mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan bekalan air minuman atau kesihatan orang awam.