Penerangan
4 Februari 2025, Subang – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan operasi statik bersepadu “Ops Gerak” di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.
Sebanyak 258 buah kenderaan berenjin diesel pelbagai jenis telah diperiksa. Daripada jumlah tersebut, 66 buah kenderaan telah ditahan untuk saringan secara visual dan pengujian asap menggunakan smoke meter.
Sebuah kenderaan telah didapati gagal mematuhi had 50% ketumpatan asap sepertimana yang ditetapkan di bawah Peraturan 11(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel), 1996. Notis arahan telah dikeluarkan bagi mengarahkan pemilik kenderaan untuk menjalankan pemeriksaan semula di PUSPAKOM selaras dengan peruntukan di bawah Sekyen 48A(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Orang awam adalah diingatkan untuk sentiasa memastikan kenderaan diselenggara dengan baik bagi mengelakkan ketidakpatuhan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan dibawahnya serta pencemaran udara.