Penerangan
KEDAH - Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah telah selesai melaksanakan Ops Gempur Kedah Bil. 1/2025 untuk mempertingkatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Operasi Ops Gempur Bil. 1/2025 telah diadakan pada 15 Januari 2025 ke atas premis-premis yang terletak di negeri Kedah. Ops ini melibatkan keseluruhan tenaga penguatkuasaan JAS Negeri Kedah seramai 16 orang yang dibahagikan kepada 4 pasukan.
Objektif Ops Gempur ini adalah untuk memastikan pihak industri khususnya sentiasa bersedia untuk mematuhi perundangan Alam Sekitar dalam mereka menjalankan operasi premis. Selain itu, ianya juga menunjukkan keseriusan Jabatan dalam membenteras dan mengambil tindakan perundangan kepada mana-mana pihak yang melanggar perundangan alam sekitar.
Ops Gempur Bil. 1/2025 telah berjaya membuat pemeriksaan ke atas 8 premis khususnya premis kilang elektrik elektronik, kilang berasaskan getah dan logam di kawasan sekitar Alor Setar dan Kubang Pasu. Hasil daripada operasi ini, tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap premis adalah Arahan Lapangan (Notis Arahan (9) dan tawaran kompaun (7) yang dikenakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 khususnya PPKAS (Buangan Terjadual) 2005.