Penerangan
Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah, Puan Sharifah Zakiah binti Syed Sahab telah dijemput untuk bersama-sama memeriahkan Majlis Perasmian Projek Transformasi Changloon (CTP) yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM). Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia bertempat di Supermarket CMart, Changloon, Kedah.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah berbangga dilantik sebagai rakan kolaborasi dalam projek yang berimpak besar ini. Projek CTP bertujuan untuk mengubah wajah bandar Changloon menjadi sebuah bandar yang lebih bersih, lestari dan mesra alam sekaligus menyokong agenda pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan di negeri Kedah.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah juga telah membuka booth pameran di lokasi yang sama, bertujuan untuk memberi pendedahan dan maklumat mengenai pengurusan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) kepada orang ramai. Pameran ini menawarkan pelbagai informasi berguna tentang cara-cara pengurusan e-waste yang betul dan kesan buruk akibat pembuangan e-waste yang tidak terurus. Selain itu, kempen pengumpulan e-waste turut diadakan bagi memudahkan orang ramai untuk menghantar e-waste mereka ke kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Usaha ini telah berjaya mengumpulkan sebanyak 350 kilogram e-waste.
Melalui inisiatif ini, Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah berharap dapat menyemai kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat mengenai pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar, sambil menggalakkan pengurangan e-waste dan buangan terjadual melalui amalan kitar semula yang lebih efisien dan selamat.
Jabatan Alam Sekitar Negeri Kedah mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha bersama menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar, kerana alam sekitar tanggungjawab bersama