Penerangan
10 Januari 2025, Kota Bharu - Program Semarak Desa Kampung Angkat Madani NRES telah diadakan di Kampung Aril, Melor, Kota Bharu bersama komuniti Kg Aril yang merupakan kawasan yang telah dipilih sebagai Kampung Angkat Madani.
Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam. Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar Dato' Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JAS Ibu Pejabat Puan Hajah Azuri Azizah bt Haji Saedon dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Kelantan Encik Wan Aminordin bin Wan Kamaruddin.
Pelbagai aktiviti telah dianjurkan antaranya Larian Semarak Desa NRES, Kayuhan Semarak Desa NRES, sukan rakyat, pertunjukan sukan Muay Thai, lawatan ke Ariyakiri Buddhist Temple, persembahan Manora dan reruai dari agensi-agensi di bawah NRES.
JAS negeri Kelantan juga tidak ketinggalan terlibat dalam reruai tersebut dengan mengadakan aktiviti seperti penerangan berkaitan e-waste tentang impak negatif e-waste jika tidak diuruskan dengan betul, termasuk risiko pencemaran bahan kimia berbahaya kepada tanah dan air serta ancaman kepada manusia dan alam sekitar, Enviro Game, Eksplorasi VR dan pendaftaran keahlian Rakan Alam Sekitar.
Program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat termasuklah komuniti Siam di dalam meyokong usaha menjaga alam sekitar secara mampan.