Penerangan
23 November 2024 - Kampung Linggi, Negeri Sembilan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Ibu Pejabat dengan kerjasama JAS Negeri Sembilan dan Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung (JPKK), Kg Linggi serta agensi- agensi lain telah menjayakan program Santuni Madani 2024.
Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Mohd Faizal bin Ramli, ADUN Linggi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital, Negeri Sembilan. Yang turut hadir ialah YBhg Dato' Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar serta beberapa orang pegawai kanan JAS.
Program ini merupakan satu kaedah meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui pemantauan secara langsung serta libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi dan keperluan penduduk di kampung terpilih.
Seramai lebih kurang 250 orang awam dan agensi kerajaan serta murid-murid tadika dan sekolah telah hadir memeriahkan program ini. Mereka juga turut menyertai aktiviti-aktiviti yang telah diatur seperti pertandingan mewarna, gotong royong Madani, advokasi e-waste, demonstrasi ujian bunyi bising motosikal dan pemberian bantuan Madani.
Melalui program ini juga diharapkan masyarakat terus peka mengenai isu alam sekitar dan membudayakan gaya hidup yang lestari.