Penerangan
13 November 2024, Pekan Nenas, Pontian, Johor - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor dengan kerjasama Pasukan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, telah menjalankan Operasi Bersepadu Peringkat Kebangsaan sempena Sambutan Hari Ozon Sedunia yang diadakan secara serentak di seluruh Malaysia.
Perasmian Operasi oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Nik Nazmi Nik Ahmad dan turut disertai oleh Ketua Pengarah Alam Sekitar, YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Yahati Awang di RNR Awan Besar.
Operasi di KM.41, Jalan Johor Bahru – Batu Pahat (Pekan Nenas, Pontian) telah disertai oleh 10 pegawai penguatkuasa JAS Negeri Johor dan 13 pegawai/anggota daripada IPD Trafik Pontian.
Sebanyak 94 buah kenderaan berenjin diesel telah ditahan untuk pemeriksaan secara visual, dan 41 buah kenderaan telah dibuat pemeriksaan pengukuran paras pelepasan asap. Hasil ujian mendapati 4 buah kenderaan berenjin diesel gagal mematuhi Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pelepasan Daripada Enjin Diesel) 1996. Notis Arahan dan syor kompaun telah dikeluarkan kepada 4 pemilik kenderaan atas kesalahan melepaskan asap hitam yang melebihi had dibenarkan.
JAS Negeri Johor merakamkan ribuan terima kasih kepada Pasukan Trafik IPD Pontian, atas kerjasama dalam menjayakan operasi ini. Semoga kerjasama yang terjalin ini akan terus menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.