5 NOVEMBER 2024, JOHOR BAHRU – Pasukan Penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Industri (JB Tengah), Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis yang menjalankan aktiviti penyaduran logam di Taman Perindustrian Desa Cemerlang, Johor Bahru. Pemeriksaan ini bertujuan untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya.
Pemeriksaan yang dijalankan mendapati sistem kawalan pencemaran udara daripada proses penyaduran gagal berfungsi dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan ke atas peralatan bagi proses tersebut. Arahan di lapangan telah dikeluarkan kepada pihak industri bagi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.
Pihak industri diingatkan supaya sentiasa memastikan sebarang pencemaran alam sekitar tidak berlaku yang boleh menjejaskan kesihatan awam.
Orang ramai adalah digalakkan menyalurkan aduan berkaitan pencemaran alam sekitar talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my.