03 Jun 2024, WP Labuan – Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan (JASWPL) telah menjalankan rondaan OMPT dan intipan pada hujung minggu bagi mencegah pembakaran terbuka dan potensi lain yang boleh mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
Hasil rondaan dan intipan di salah sebuah jeti mendapati terdapat aktiviti penempatan bahan buangan disyaki buangan terjadual yang ditempatkan di satu kawasan secara haram tanpa kebenaran oleh Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.
Pasukan penyiasat JASWPL telah membuat pensampelan rasmi ke atas bahan buangan tersebut untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis. Kertas siasatan telah dibuka dan dilengkapkan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori tidak melebihi 5 tahun dan denda sehingga RM500,000.
Orang ramai adalah digalakkan untuk menyalurkan aduan berkaitan aktiviti yang berpotensi mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau emel ke
[email protected] dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.