W.P. LABUAN, 11 Mei 2024- Pasukan penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan Labuan menjalankan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) serta memantau punca-punca pencemaran alam sekitar yang tertakluk di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS), 1974 di Kawasan Industri, Bengkel Kereta, Pelabuhan, Belukar, Kampung-Kampung, sungai paya bakau dan sepanjang pantai.
Hasil pemantauan dan rondaan OMPT tidak terdapat pembakaran terbuka sama ada kebakaran hutan atau aktiviti persendirian ditemui.
Pemantauan di kawasan premis dan bengkel-bengkel kenderaan di sekitar WPL turut dilakukan bagi mengesan potensi berlakunya pencemaran. Hasil dari rondaan dan pemantauan ini tiada kes-kes pencemaran atau aktiviti mencurigakan dikesan di kawasan tersebut.
Rondaan juga diteruskan ke kawasan pantai dan sungai paya bakau bagi mengesan jika terdapat kehadiran kesan-kesan pencemaran seperti Tar Ball, Oil Sheen dan lain-lain pencemaran. Hasil rondaan mendapati tidak terdapat kesan pencemaran dan aktiviti yang mencurigakan ditemui.
Orang ramai juga adalah diminta untuk tidak melakukan aktiviti pencerobohan tanah dan melakukan pembakaran terbuka. Kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29A, AKAS, 1974 dan sekiranya sabit kesalahan denda RM500,000.00 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000.00.
Orang ramai juga boleh membuat sebarang aduan berkaitan kes-kes pencemaran alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727, email ke
[email protected] atau ke portal aduan https://eaduan.doe.gov.my.