Penerangan
BANTING, 12 Oktober 2024 - Sebuah kilang yang menjalankan aktiviti proses kitar semula plastik terpakai telah dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi menghentikan pencemaran udara. Notis Arahan di bawah Seksyen 31, Akta yang sama juga telah dikeluarkan bagi mengarahkan premis untuk mengambil tindakan pembaikan dan pematuhan bagi pelepasan pencemaran.
Serbuan bersama oleh Jabatan Alam Sekitar Cawangan Sepang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mendapati bahawa kilang beroperasi tanpa Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) dan tidak mempunyai lesen perniagaan dari MPKL. Pasukan Penguatkuasa MPKL telah mengeluarkan kompaun atas kesalahan tersebut dan premis turut disita oleh MPKL.
Tindakan POK diambil bagi menghentikan pencemaran daripada terus berlaku dan premis diarahkan untuk mengambil tindakan pembaikan dalam tempoh POK tersebut.
Semua premis industri adalah diingatkan supaya sentiasa mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya. Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan sebarang pencemaran kepada alam sekitar.