Penerangan
5 Oktober 2024, Kuala Selangor - Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor di bawah projek Sustainable Management of Peatland Ecosystem in Malaysia telah menganjurkan ‘Program Kesedaran: Jom! Kenali Hutan Simpan Paya Gambut Raja Musa' bertempat di Pusat Kecemerlangan Hutan Simpan Paya Gambut Raja Musa, Kuala Selangor. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor, Puan Nor Aziah Binti Jaafar dan diadakan bersempena Pra-Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) 2024 Peringkat Negeri Selangor yang.
Program ini bertujuan untuk memberi kesedaran di kalangan pelajar tentang tanggungjawab pemeliharaan dan pemuliharaan hutan paya gambut khususnya di Negeri Selangor. Porgram ini melibatkan penyertaan seramai 32 orang pelajar dan 8 orang pensyarah dari jurusan Diploma Kejuruteraan Alam Sekitar, Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.
Antara pengisian utama program yang dijalankan adalah seperti aktiviti penanaman pokok, aktiviti jelajah dan pembelajaran infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut serta aktiviti menyelusuri Denai Hutan Simpan Paya Gambut Raja Musa. Para peserta juga terlibat dengan Kuiz Alam Sekitar bagi meningkatkan pemahaman para pelajar mengenai alam sekitar khususnya ekosistem tanah gambut.
Dengan usaha ini, diharap khazanah alam yang tidak ternilai ini dapat dikekalkan bagi generasi pada masa akan datang.