Penerangan
13 Jun 2024, MIRI - Jabatan Alam Sekitar dengan kerjasama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Sarawak asset) dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) yang turut melibatkan 44 agensi secara keseluruhannya telah mengadakan simulasi tumpahan minyak (Oil Spill Combat Exercise) yang dinamakan Ex Empurau di perairan Miri.
Dengan kerjasama dan komitmen semua pihak, Latihan Ex-Empurau ini dapat dijayakan dan dijalankan secara menyeluruh dengan pengujian Oil Spill Response Plan (OSRP) peringkat industri, Malaysia Oil Spill Contingency Plan (MOSCoP) Tier 2, Pelan Tindakan Pembersihan Pantai (PTPP) Negeri dan Malaysia Oiled Wildlife Response Plan (MOWReP) yang dijalankan secara Table-Top dari 11 sehingga 12 Jun dan disusuli dengan Latihan Deployment di laut dan pantai.
Latihan sebegini juga boleh menjadi platform untuk meningkatkan kemahiran melalui perkongsian kepakaran, teknologi, sistem kawalan dan komunikasi yang terlaras agar dapat mempersiapkan lagi agensi masing-masing untuk bertindak dalam menghadapi insiden tumpahan minyak.
Matlamat penganjuran latihan juga adalah selaras dengan komitmen negara untuk memastikan alam sekitar yang sihat, bersih dan bebas daripada pencemaran demi kepentingan dan kesejahteraan awam seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 14, iaitu untuk memulihara dan menggunakan lautan, laut, dan sumber marinnya secara lestari.