Penerangan
Mesyuarat Kajian Semula Pengurusan MS ISO 9001:2015 Jabatan Alam Sekitar (JAS) Bil 1/2024 telah diadakan pada 12 September 2024 dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Wan Abdul Latiff bin Wan Jaffar, Ketua Pengarah Alam Sekitar. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Norhazni binti Mat Sari, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAS, Pengarah-Pengarah Bahagian dan JAS Negeri serta pegawai-pegawai yang berkaitan atau wakil dari JAS Ibu Pejabat dan JAS Negeri.
JAS telah memperolehi pensijilan MS ISO 9001 sejak tahun 2010 dan sehingga kini telah berjaya mengekalkan pensijilan MS ISO 9001 versi 2015 bagi tempoh 25 Oktober 2022 hingga 21 Oktober 2025 di bawah skop Pemprosesan Laporan EIA dan Penguatkuasaan Syarat – Syarat EIA. Pelaksanaan MKSP ini merupakan salah satu keperluan di bawah pensijilan MS ISO 9001:2015. Ianya juga adalah satu landasan untuk membincangkan pendekatan-pendekatan yang bertujuan meningkatkan keberkesanan, kecekapan dan kualiti perkhidmatan ke arah memenuhi kehendak pelanggan, serta pihak-pihak yang berkepentingan selaras dengan keperluan perundangan. Mesyuarat ini juga turut membincangkan penemuan-penemuan dari pelaksanaan Audit Kualiti Dalaman MS ISO 9001:2015 yang telah dijalankan pada bulan Ogos 2024.
JAS adalah komited dalam memastikan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti di bawah MS ISO 9001:2015 pada tahap terbaik dan inisiatif ini akan terus menjadi pemangkin ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cemerlang dan berkualiti.